Pemain tengah Croatia, Marin Pilj sah tidak lagi bersama Terengganu FC.
Ini selepas pengurusan Peteh dan Pilj menamatkan kontrak yang dimeterai secara persetujuan bersama. Keputusan itu diumumkan Terengganu dalam satu hantaran video di platform media sosial rasmi mereka.
Meskipun pengurusan Terengganu mengakui ia satu keputusan yang berat terutama di pertengahan musim, perpisahan dilihat jalan terbaik buat kedua-dua pihak.
Ini kerana kelab mengambil kira aspek kebajikan Pilj. Ini termasuk memahami kesukarannya menyesuaikan diri di Malaysia memandangkan ini kali pertama pemain berusia 27 tahun itu beraksi di Asia.
“Kelab sebelum ini memberikan ruang buat Marin Pilj untuk cuba hadir dan membuat latihan seperti kebiasaan namun jelas pemain ini tidak dapat memberikan komitmen sepertimana yang diharapkan.
“Pihak pengurusan kelab melihatkan ianya adalah perkara yang serius kerana ia memberikan impak negatif untuk kedua-dua pihak iaitu pemain dan pasukan dan keputusan segera perlu diputuskan.
“Sehubungan dengan itu, Terengganu FC bersetuju untuk melepaskan Marin Pilj dengan penamatan bersama,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Pilj menghargai usaha dan sokongan semua pihak yang membantunya sepanjang bersama Terengganu. Beliau berharap pasukan Pantai Timur itu lebih menyerlah selepas ini.
“Saya ucapkan selamat berjaya buat kelab dan seluruh pemain. Semoga mereka mendapatkan keputusan yang terbaik (dalam Liga Malaysia (Liga M),” katanya.
Sepanjang bersama Terengganu, Pilj merekodkan 16 penampilan, dua gol dan satu bantuan gol. Pemain tengah Croatia itu menjadi pemain import kedua yang meninggalkan Peteh.
Sebelum ini, Terengganu memutuskan untuk menamatkan kontrak secara persetujuan bersama dengan bek tengah Belanda, Matthew Steenvorden.