Selangor Buat Kedah Terkulai Di Darul Aman
Liga Super
Advertisements

Kedah Darul Aman FC beraksi pada perlawanan ini selepas 5 perlawanan mereka ditunda. Hujan turun yang membuatkan padang becak pastinya akan lebih mencabar buat kedua-dua pasukan untuk memperagakan aksi terbaik.

Selangor FC membuat kejutan apabila menurunkan penjaga gol muda, Sikh Izhan Nazrel sebagai penjaga gol utama pasukan menggantikan Khairul Azhan yang mengalami kecederaan. Manakala Kedah tidak banyak perubahan yang dilakukan selain kemasukan semula Fairuz Zakaria di bek kiri.

Perlawanan dimulakan dengan kedua-dua pasukan cuba menguasai bola namun bola banyak hilang di tengah padang.Peluang terbaik Selangor ialah pada minit ke-18 apabila satu lambungan menarik ke kotak penalty berjaya disudahkan oleh Danial Asri namun, gol itu tidak dikira kerana Danial berada pada kedudukan ofsaid.

Advertisements

20 minit pertama, Kedah kelihatan bergelut untuk mendapatkan rentak yang menyaksikan Selangor banyak melancarkan serangan melalui bahagian sisi kanan dan kiri.

Pada minit ke-24, Kedah yang jarang mengasak akhirnya mengejutkan Selangor melalui  gandingan Kipre-Kpah apabila Kpah yang menerima hantaran Kipre tidak mensia-siakan peluang apabila melakukan rembatan lencong berkelas dunia sekaligus menewaskan Sikh Izhan di gawang Selangor.

Tersentak dengan gol itu, Selangor terus mengatur gerak untuk mencari gol penyamaan dan ianya berhasil pada minit ke-28, setelah Selangor dihadiahkan sepakan penalti dek kerana kesilapan Renan Alves menampan bola menggunakan tangan dan malang buat Kedah, Renan juga dilayangkan kad merah yang memaksa mereka beraksi dengan 10 pemain.

Advertisements

Ifedayo yang mengambil sepakan penalti berjaya menyempurnakan tugasnya dengan gol penyamaan buat Selangor. Kedudukan terikat 1-1.

Belum sempat Kedah mengatur langkah, Selangor berjaya mendahului apabila penyerang muda berpotensi, Danial Asri berjaya menyempurnakan hantaran menarik dari Htet Aung sekaligus menewaskan Shahril Sa’ari di gawang Kedah. Gol itu terhasil hanya 2 minit selepas gol penyamaan dari Ifedayo.

Kedah yang tempang beraksi dengan 10 pemain berjaya dimanfaatkan oleh Selangor apabila menguasai perlawanan dan berjaya melancarkan beberapa serangan melalui bahagian sisi.

Advertisements

Ketika perlawanan berbaki 1 minit untuk tamat, Kedah berjaya mendapatkan gol penyamaan apabila hasil tendangan sudut dari Rabih Ataya berjaya ditumbuk oleh Sikh Izhan namun susulan melalui tandukan menarik oleh Anumanthan Kumar berjaya membolosi gawang Selangor.

Separuh masa pertama tamat dengan kedudukan terikat 2-2.

Bersambung pada babak kedua, Kedah membuat pertukaran apabila mengeluarkan Rabih Ataya dan memasukkan Fadzrul Danel demi mengimbangi bahagian tengah yang banyak dikuasai Selangor.

Advertisements

Selangor terus menguasai perlawanan dan pada minit ke-50, Selangor berpeluang menjaringkan gol apabila pemain import dari Switzerland, Oliver Buff merembat deras ke gawang gol namun rembatannya hanya mengenai tiang dan bola yang melantun berjaya diselamatkan oleh Shahril Sa’ari.

Serangan terus diatur oleh Selangor manakala Kedah berkumpul di kawasan sendiri dan menantikan waktu terbaik untuk melakukan serangan balas. Hasil serangan bertali arus, Selangor akhirnya berjaya mendahului Kedah apabila pada minit ke-74, sekali lagi menerusi gerakan menarik dari Htet Aung di sebelah kanan berjaya mencari Ifedayo yang mudah menolak masuk untuk gol ketiga Selangor.

Ketika masa kecederaan, Ifedayo melengkapkan malam gemilang Selangor apabila menjaringkan gol ke-4 Selangor melalui rembatan mudah menewaskan Shahril. Hatrik keduanya musim ini dan juga gol ke-20 beliau di Liga Super.

Perlawanan tamat dengan Selangor menewaskan Kedah 4-2 di Stadium Darul Aman. Di bawah ialah kedudukan terkini selepas perlawanan malam ini.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram