Advertisement
Selangor Buru Kemenangan Penting Di Cebu
ACL
MakanBola
Selangor FC

Pengendali Selangor FC, Katsuhito Kinoshi melihat kemenangan penting buat pasukan itu jika ingin mara ke pusingan 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).

Perebutan slot kelayakan ke pusingan 16 terbaik dalam Kumpulan H kini tertumpu kepada Merah Kuning dan Muangthong United. Ini selepas kelab Thailand itu menewaskan Selangor dalam aksi kelima kumpulan pada 28 November lalu.

Kemenangan itu menyaksikan Muangthong kini menghuni tempat kedua kumpulan dengan lapan mata, satu mata di depan Selangor. Justeru, kedua-dua pasukan perlu menang aksi terakhir mereka jika ingin mengiringi Jeonbuk Hyundai Motors ke pusingan seterusnya.

Kinoshi mengakui kemenangan menentang Dynamic Herb Cebu cukup penting jika ingin mengiringi Jeonbuk sebagai naib juara kumpulan.

“Sebenarnya, bagi kita semua perlawanan itu penting bukan saja perlawanan esok (perlawanan menentang Dynamic Herb Cebu) tetapi perlawanan seterusnya.

“Sudah tentu kita di sini untuk mendapatkan kemenangan dan layak (ke pusingan 16 terbaik). Tetapi kita mesti tunjukkan corak permainan dan bola sepak kita kepada mereka.

“Keputusan akan menyusul selepas itu. Jadi, jangkaan sebegitu ialah mendapatkan kemenangan sebelum kembali ke Malaysia,” katanya dalam sidang media praperlawanan.

Selangor akan menentang Dynamic Herb Cebu pada 5 Disember. Muangthong pula bakal berentap dengan Jeonbuk di Stadium Piala Dunia Jeonju pada hari yang sama.

Selangor bukan saja perlu menang ke atas kelab Filipina itu. Malah, mereka juga perlu mengharapkan Jeonbuk untuk mengalahkan Muangthong untuk mencerahkan peluang ke pusingan seterusnya.