Selangor bakal berdepan tugas sukar menentang Sri Pahang dalam aksi pusingan kedua Piala FA esok. Selain menentang pasukan yang masih belum kalah dalam Liga Super, Gergasi Merah juga tempang tanpa tiga tonggak utama yang mengalami kecederaan.
Tiga pemain tersebut ialah duo pemain import Noor Al-Rawabdeh dan Alex Agyarkawa serta bek tengah Sharul Nazeem. Ini memeningkan kepala jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe dalam membentuk kesebelasan terbaik bagi mendepani cabaran anak-anak buah Fandi Ahmad itu.
“Ya, kita ada dua, tiga pemain yang sedang mengalami kecederaan setakat ini. Noor Al-Rawabdeh, dia mengalami kecederaan di bahagian betis (dan) belum lagi pulih 100% (untuk) latihan penuh bersama pasukan.
“Dan kita juga tahu Afro (nama panggilan Sharul Nazeem) tidak turun menjalani latihan sejak tiga hari lalu. Beliau mendapat deman dan Alex (Agyarkawa) pun belum 100% pulih. Kita harap Alex dapat pulih dalam dua hari ini dengan sesi latihan nanti kita akan lihat sejauh mana tahap kecergasannya.
“Dan seperti biasa, kita berharap pemain-pemain akan berada pada tahap terbaik. Walaupun dalam bulan Ramadan, pemain-pemain harus menjaga kesihatan dan tahap kecergasan terbaik bila turun menentang Sri Pahang nanti,” katanya kepada Astro Arena hari ini.
Dengan Sri Pahang dijangka mendapat sokongan padu penyokong di Stadium Darul Makmur, Cheng Hoe sedar anak-anak buahnya berdepan tugas sukar mengalahkan pasukan gergasi Pantai Timur itu.
Atas sebab itu, beliau berharap anak-anak buahnya kekal fokus dan melaksanakan pelan permainan mereka dengan baik.
“Saya rasa perlawanan menentang Sri Pahang dalam pusingan 16 Piala FA ini merupakan perlawanan yang sukar. Yang kita tahu, (Sri) Pahang dalam keadaan yang terbaik. Dalam liga, mereka belum kalah lagi dan berada dalam satu prestasi yang terbaik.
“Corak permainan mereka pun berada pada tahap yang baik. Baik dari segi individu mahupun berpasukan, kita nampak dalam dua, tiga perlawanan, mereka tidak menjaringkan gol yang besar tetapi mereka berjaya mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan. Justeru, saya nampak mereka berada pada landasan yang terbaik untuk perlawanan Piala FA ini,” tambahnya.