Selangor FC mengumumkan barisan kejurulatihan untuk memimpin pasukan itu menghadapi musim 2026/27. Tiga muka baharu turut diperkenalkan bagi membantu pasukan itu tampil lebih mantap.
Jurulatih Korea Selatan, Kim Pan-gon terus diberi kepercayaan oleh pengurusan Merah Kuning untuk memimpin pasukan itu. Beliau dibantu Lee Soon-seok, Shahrom Kalam dan Yuki Fujimoto sebagai penolong jurulatih.
Bekas jurulatih Selangor Bawah 18 Tahun (B-18) dan B-20, Firdaus Tan Aziz kini memikul tugas baharu sebagai penolong jurulatih keempat Pan-gon.
Bekas jurulatih kecergasan Watford, Joel Dones dibawa masuk sebagai pengganti jurulatih sebelumnya, Nicolas Maidana. Selain kelab Liga Kejohanan itu, beliau juga pernah menabur bakti bersama FC Goa dan Cancun FC.
Jurulatih penjaga gol Korea Selatan, Cho Jun-ho kembali bekerjasama dengan Pan-gon buat kali ketiga. Sebelum ini, kedua-duanya pernah bekerjasama ketika beliau membimbing Harimau Malaya dan Ulsan HD.
Selangor percaya kehadiran Firdaus, Dones dan Jun-ho mampu membawa pasukan itu tampil lebih cemerlang musim ini.
“Pihak pengurusan berharap kehadiran tiga jurulatih baharu ini akan membawa kepakaran, idea serta tenaga baharu kepada pasukan dalam usaha meraih kejayaan sepanjang musim 2026/27,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Selangor kini sibuk mengharungi program pramusim di Thailand. Selepas menewaskan Ratchaburi, kelab itu meneruskan rentak kemenangan dengan menewaskan kelab Hong Kong, Tai Po FC baru-baru ini.