Selangor FC berkongsi keadaan terkini Sikh Izhan Nazrel susulan kecederaan yang dialami beliau dalam aksi Liga Super menentang Terengganu FC baru-baru ini.
Penjaga gol berusia 24 tahun itu dikejarkan ke hospital selepas kepalanya berlaga dengan penyerang Peteh, Romel Morales pada separuh masa kedua perlawanan.
Sikh Izhan menerima rawatan di atas padang selama beberapa minit sebelum distabilkan oleh pasukan perubatan. Tempat beliau kemudiannya digantikan oleh Azim Al Amin Kamaruddin untuk baki perlawanan.
Kini, Selangor memaklumkan Sikh Izhan tidak mengalami kecederaan serius dan kini berada dalam keadaan stabil. Kelab turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu termasuk Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA).
“Penjaga gol The Red Giants, Sikh Izhan Nazrel telah disahkan mengalami konkusi berikutan perlawanan unifi Liga Super Malaysia malam tadi menentang Terengganu FC.
“Sikh Izhan kini dalam keadaan stabil dan telah menyertai semula pasukan untuk pemantauan dan rawatan susulan.
“Kelab ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pegawai perubatan perlawanan serta pasukan perubatan Jabatan Kecemasan dan Trauma dari Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA), atas maklum balas segera dan bantuan kecemasan mereka,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Selepas berita itu disiarkan, ramai penyokong Selangor mendoakan agar Sikh Izhan cepat sembuh.