Katsuhito Kinoshi tinggalkan kelab baharu beliau, Tampines Rovers selepas 12 hari.
Beliau yang baru dilantik oleh kelab Singapura tersebut pada 3 April lalu akhirnya meninggalkan pasukan itu berikutan satu faktor.
Menurut Tampines Rovers, Katsuhito Kinoshi meninggalkan posisi sebagai ketua jurulatih pasukan tersebut disebabkan oleh masalah keluarga dan jawatan tersebut bakal digantikan oleh pengurus besar & jurulatih penjaga gol, William Phang.
“BG Tampines Rovers ingin mengumumkan bahawa Katsuhito Kinoshi telah meletakkan jawatannya sebagai ketua jurulatih berkuat kuasa serta-merta atas sebab keluarga.”
“Pengurus besar dan jurulatih penjaga gol, William Phang akan mengambil alih jawatan sebagai ketua jurulatih interim sehingga akhir musim 2025/26.”
Tambahan, pengalaman selama 9 tahun bersama kelab The Stags cukup buat William Phang menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih baharu Tampines Rovers.
“Sebagai jurulatih penjaga gol kelab sejak 2017, beliau membangunkan ramai penjaga gol BG Tampines Rovers, termasuk kapten kelab Syazwan Buhari, yang semuanya menyaksikan masa bermain musim ini.”
“William juga mempunyai pengalaman yang luas dalam latihan dan taktik pasukan pertama selama bertahun-tahun dia bersama The Stags,” kata Tampines Rovers dalam satu kenyataan di laman media sosial.
Katsuhito Kinoshi hanya sempat menjadi ketua jurulatih pasukan Tampines Rovers bagi dua perlawanan iaitu menentang Jurong & Geylang International yang mencatatkan satu keputusan menang & satu seri.