Bekas penyerang Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha mengagumi semangat juang hebat yang dipamerkan Faisal Halim untuk kembali bermain bola sepak.
Faisal Halim berharap mampu kembali bermain dalam tempoh sebulan lebih walaupun doktor mengesahkan beliau memerlukan rehat selama tiga hingga enam bulan.
Hasrat besar itu diluahkan oleh Faisal Halim ketika dalam sesi sidang media khas baru-baru ini dan itu merupakan penampilan pertama beliau di khalayak ramai selepas insiden disimbah asid.
Norshahrul Idlan Talaha ataupun dikenali sebagai Matyo berpandangan hasrat besar yang dilontarkan Faisal Halim membuktikan pemain sayap negara itu memiliki semangat juang yang tinggi.
“Bagi pendapat saya apabila Faisal Halim mengatakan begitu, daripada tiga bulan dia cakap boleh jadi sebulan lebih, bagi saya dia punya semangat dan keinginan yang begitu tinggi kerana kita tahu Faisal Halim masih muda.
“Sudah tentu dia ada misi dan visi peribadi beliau untuk meneruskan karier selaku pemain profesional demi mencapai sasaran beliau sepanjang karier beliau.” ujar Norshahrul kepada Astro Arena.
Faisal Halim kini meneruskan proses pemulihan di sebuah lokasi yang dirahsiakan oleh pihak pengurusan Selangor atas faktor keselamatan serta privasi diri dan keluarganya.