15 pasukan Liga Timur Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) berpotensi mengisi lapan slot calon lawan yang akan dihadapi Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam kejohanan itu.
Lima daripada 15 pasukan ialah kelab Jepun. Lima kelab itu ialah juara Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2), Gamba Osaka, Kashima Antlers, Kashiwa Reysol, Kyoto Sanga dan Vissel Kobe.
Korea Selatan dan Thailand masing-masing memiliki tiga wakil dalam Liga Timur ACLE. Juara K-League 1 musim lalu, Jeonbuk Hyundai Motors mengetuai cabaran Korea Selatan bersama Pohang Steelers dan Daejeon Hana Citizen.
Juara Thai League 1 musim 2025/26, Buriram United pula mengetuai cabaran Thailand bersama Port FC dan Ratchaburi FC. China menghantar dua wakil menerusi juara liga, Shanghai Port dan Beijing Guoan.
Australia dan Vietnam masing-masing memiliki satu wakil. Newcastle Jets yang dibimbing bekas jurulatih Harimau Malaya, Mark Milligan membawa cabaran Australia.
Vietnam pula membuat kemunculan sulung di pentas ACLE menerusi juara V. League 1, Cong An Ha Noi FC (CAHN FC). CAHN yang dibimbing bekas jurulatih Thailand, Mano Polking mara dengan menyingkirkan Adelaide United.
Undian fasa liga akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 18 Ogos ini. JDT berada dalam Balang 2 bersama Newcastle Jets, Vissel Kobe dan Daejeon Hana Citizen.