Shopee Cup 2026-2027 bakal disertai oleh 16 kelab terbaik di rantau Asia Tenggara antaranya Johor Darul Ta’zim (JDT), Buriram United dan Persib Bandung.
Laman ASEAN United menerusi sebuah hantaran mengumumkan senarai 16 pasukan yang bakal mewarnai kejohanan Shopee Cup di musim 2026-2027, penambahan dua kelab dari Indonesia berbanding pada edisi sebelum ini.
Juara bertahan, Buriram United akan turun dengan misi memburu kejuaraan hatrik berbekalkan slot automatik, beserta dua lagi kelab dari Thailand iaitu Ratchaburi dan Port FC yang masing-masing melakukan penampilan sulung di Shopee Cup.
Malaysia pula bakal menghantar dua kelab terbaik di Liga Super musim lalu iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) yang merupakan semi-finalis Shopee Cup dan Kuching City yang turut mencipta sejarah beraksi di kejohanan ASEAN ini.
Sementara, Indonesia pula akan diwakili oleh juara Liga 1, Persib Bandung dan Borneo setelah pihak ASEAN Football Federation (AFF) menolak calon wakil dari negara terbabit pada kejohanan Shopee Cup musim lalu.
CAHN sah menjadi wakil dari Vietnam pada edisi kali ini dengan satu lagi pasukan bakal ditentukan tidak lama lagi manakala Lion City Sailors dan Tampines Rovers sekali lagi bakal membawa nama Singapura pada Shopee Cup ini.
Ezra (Laos), Manila Diggers (Filipina), Shan United (Myanmar), PKR Svay Rieng (Kemboja) dan Kasuka (Brunei) melengkapkan senarai 16 kelab yang akan bertanding pada kejohanan Shopee Cup tidak lama lagi.
Sesi undian Shopee Cup akan berlangsung pada Jumaat, 5 Jun jam 11 pagi waktu Malaysia.