Saingan separuh akhir Shopee Cup bakal menyaksikan pertembungan BG Pathum United, PSM Makassar, Cong An Ha Noi FC (CAHN) dan Buriram United.
BG Pathum dan Juku Eja mengesahkan kemaraan selaku juara dan naib juara Kumpulan A. Ini selepas kedua-dua pasukan meraih kemenangan dalam aksi terakhir kumpulan.
The Rabbits dipaksa bekerja keras sebelum menewaskan juara Piala Malaysia 2001, Terengganu FC di Stadium BG. Raniel, Gakuto Notsuda dan Ilhan Fandi mencetak nama sebagai penjaring.
Peteh membalas menerusi dua gol Safawi Rasid dan Akhyar Rashid. Kekalahan ini menutup terus peluang Terengganu untuk mara ke separuh akhir.
Situasi ini membuka ruang buat PSM Makassar memintas Peteh selaku naib juara Kumpulan A. Juku Eja menewaskan Dong A Thanh Hoa 3-0 menerusi dua gol Nermin Haljeta dan Daisuke Sakai.
Dua pasukan yang menanti mereka di peringkat separuh akhir ialah CAHN dan Thunder Castle. CAHN dan Buriram masing-masing mara selaku juara dan naib juara Kumpulan B.
CAHN mengekalkan rekod 100% apabila menewaskan Borneo FC 3-2 dalam aksi terakhir kumpulan. Buriram pula mengesahkan slot naib juara dengan menewaskan juara Piala Malaysia 2021, KL City FC.
CAHN bakal menentang PSM Makassar. Buriram dan BG Pathum pula berentap untuk menentukan satu lagi slot final.
Aksi separuh akhir pertama Shopee Cup akan berlangsung pada 2 April. Ini disusuli aksi separuh akhir kedua pada 30 April.