Sentuhan ‘Nafuzi Ball’, Duo Cilik Kunci Terengganu Lenyapkan Impian Perak
Liga Super
Advertisements

Impian pasukan Perak untuk meraih kemenangan ketika berkunjung ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin musnah apabila tewas 5-0 dengan pasukan tuan rumah malam ini.

Pasukan pelawat bermula garang di awal permainan apabila percubaan kencang Danish berjaya menyentak kelekaan barisan pertahanan pasukan tuan rumah. Ini membuatkan Terengganu terus melancarkan serangan bertali arus menerusi duo ciliknya yang berada di bahagian sayap padang iaitu Faiz Nasir dan juga Faisal Halim.

Usaha tersebut membuahkan hasil apabila gerakan lincah Faiz Nasir berjaya mengelirukan pertahanan pasukan Perak seterusnya berjaya melakukan hantaran silang yang mudah ditolak masuk oleh rakannya di sebelah sayap kanan iaitu Faisal Halim.

Advertisements

Gol awal tersebut nyata menyuntik moral skuad kendalian Nafuzi Zain ini yang terus rancak mengatur gerak ke kubu pasukan lawan. Hasilnya, larian deras oleh Faisal Halim meluru ke dalam kotak penalti menyebabkan tindakan sukar diambil oleh pertahanan Perak yang terpaksa melakukan bentesan yang menghadiahkan sepakan penalti kepada pasukan Terengganu. David Da Silva berjaya menyudahkan sepakan dengan tenang.

Perak dilihat semakin hilang fokus setelah ketinggalan apabila asakan demi asakan oleh pemain Terengganu sekali lagi membuahkan hasil apabila kealpaan benteng pertahanan The Bos Gaurus dihukum dengan jaringan sendiri Charlie Machell pada minit ke-42.

Perak cuba bangkit pada separuh masa kedua dengan gerakan-gerakan menarik direncanakan namun berjaya dipatahkan dengan kepintaran barisan pertahanan pasukan Terengganu yang tenang mengawal keadaan.

Advertisements

Kelekaan merantai gerakan Faisal Halim sekali lagi dihukum pada minit ke-71 apabila hantaran cantik Makan Konate gagal dihalang sekaligus memberi peluang kepada Rahmat Makasuf untuk melakukan satu lorongan mudah kepada Hakimi Abdullah untuk menjaringkan gol keempat pasukan tuan rumah sekaligus menutup peluang Perak dalam perlawanan ini.

Nik Akif Syahiran mengakhiri perlawanan penuh mendukacitakan buat pasukan Perak dengan menyempurnakan penalti pada akhir permainan setelah beliau dijatuhkan dalam kotak penalti.

Terengganu kini terikat bersama pasukan Johor Darul Ta’zim dalam carta Liga Super dengan 30 mata namun pasukan Harimau Selatan itu bakal menanti UITM Fc pada Ahad. Ini menjadi satu suntikan semangat buat pasukan Hitam Putih ini untuk terus menekan kedudukan pendahulu liga bagi membuka semula peluang mencabar kejuaraan pada musim ini.

Advertisements
Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram