Selepas mendapatkan khidmat Rafael Silva semalam, Sri Pahang FC menambah keampuhan pada jentera tengah mereka. Hari ini, skuad Tok Gajah mengumumkan perpindahan jeneral tengah Uzbekistan, Kuvondik Ruziev.
Ruziev merupakan bekas pemenang Liga Super Uzbekistan sebanyak dua kali bersama Lokomotiv Tashkent. Beliau juga mempunyai enam penampilan antarabangsa bersama skuad kebangsaan Uzbekistan.
Mampu beraksi di bahagian tengah menyerang, Ruziev juga boleh beraksi di bahagian tengah atau sayap kanan jika keadaan memerlukan. Kemampuannya beraksi di beberapa posisi akan membantu jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad dalam merencana taktikal perlawanan.
Ruziev dijangka tidak berdepan masalah menyesuaikan diri di Stadium Darul Makmur. Ini kerana rakan senegara, Sherzod Fayziev juga beraksi bersama skuad Tok Gajah.
Perpindahan ini menjadikan Ruziev sebagai pemain import kesembilan Sri Pahang FC musim ini. Ramai penyokong menjangkakan kelibatnya akan dapat dilihat dalam perlawanan Liga Super seterusnya membabitkan Tok Gajah dan Selangor FC pada 9 Julai ini.