Bekas pemain pertahanan kebangsaan, Asmawi Bakiri percaya serangan ampuh Selangor bakal menjadi senjata pasukan itu bila turun menentang Terengganu FC.
Asmawi berpandangan sebegitu kerana dua tonggak utama The Red Giants, Chrigor Moraes dan Faisal Halim kekal berbisa. Kedua-duanya masing-masing menjaringkan dua gol untuk membantu Selangor menewaskan Kelantan RW 4-1 dalam aksi pertama liga.
Selain itu, Asmawi melihat kehadiran bekas pemain sayap Negeri Sembilan FC, A. Selvan menambah sengat serangan pasukan itu.
Beliau percaya kelibat trio tersebut bakal memberi cabaran hebat kepada anak buah Nafuzi Zain apabila kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).
“Sasaran (serangan) pasukan Selangor sentiasa konsisten dari musim lepas sampai sekarang kerana Chrigor penjaring gol dan Faisal Halim (pencipta) bantuan gol dan menjaringkan gol. Mereka sangat konsisten sebagai pemain lama.
“Tetapi mereka juga membawa pemain baru, itu juga menjadikan keadaan lebih baik. Saya difahamkan Selvan beraksi di sebelah kanan, jadi mereka ada pemain sayap yang laju seperti Selvan dan Faisal Halim.
“Itu kelebihan buat pasukan Selangor dan peluang buat Chrigor tambah jaringan,” katanya semasa menjadi panel Nadi Bola.
Kedua-dua pasukan mahu meneruskan rentak kemenangan selepas masing-masing menewaskan Kelantan RW dan Melaka FC dalam aksi pertama liga. Terengganu dan Selangor berentap di SSMZA pada Jumaat.