Serangan Vietnam ‘Lumpuh’, Peluang Malaysia Mengganas
MakanBola
Malaysia NT

Skuad Malaysia berpeluang untuk mencipta kejutan menjelang pertemuan menentang Vietnam.

Pasukan kendalian Peter Cklamovski cemerlang menduduki tangga teratas Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 dengan 15 mata hasil lima kemenangan bersih setakat ini.

Harimau Malaya kini terpisah tiga mata dengan pasukan tangga kedua, Vietnam tatkala kedua-dua pasukan bakal bertemu pada 31 Mac ini.

Pasukan bimbingan Kim Sang-sik bagaimanapun kini menghadapi tamparan hebat untuk bertemu Harimau Malaya susulan beberapa tonggak utama yang tidak berada pada prestasi terbaik.

Skuad Bintang Pahlawan Emas dipastikan bakal kehilangan khidmat tonggak pertahanan kental, Bui Tien Dung yang mengalami kecederaan sekali gus terlepas panggilan bersama pasukan kebangsaan kali ini.

Satu lagi masalah yang dialami oleh Sang-sik adalah bagi penentuan barisan serangan yang bakal diturunkan bertemu Malaysia hujung bulan ini.

Hal ini selepas trio serangan yang dipertaruhkan pada Jun lalu kini bergelut untuk mencapai prestasi terbaik mereka dalam saingan V-League 2025-26.

Nguyen Van Vi kini masih tidak mencatatkan sebarang jaringan bersama-sama Chau Ngoc Quang (0) manakala Nguyen Hai Long (1) dengan tiga pemain ini menjadi sandaran utama bertemu Malaysia, tempoh hari.

Hanya pemain tengah utama, Nguyen Hoang Duc berada pada tangga kelima senarai penjaring terbanyak dengan enam gol daripada 15 perlawanan yang diturunkan.

Pertemuan Vietnam vs Malaysia dijadual pada 31 Mac 2026 jam 8.00 malam (waktu Malaysia) di Stadium Thien Thruong, Nam Dinh.