Shahrul Nizam Kembali Perkuat Terengganu
MakanBola
Terengganu FC

Terengganu FC mendapat khabar gembira apabila bek tengah mereka, Shahrul Nizam Ros Hasni kembali cergas.

Sebelum ini, bek tengah berusia 26 tahun itu terpaksa disisihkan selama tiga minggu kerana mengalami kecederaan semasa menjalani latihan.

Ini menyebabkan Terengganu terpaksa melupakan khidmat Shahrul Nizam untuk beberapa perlawanan. Ini termasuk aksi Liga Super menentang Selangor FC pada 28 September lalu.

Kini, kelibatnya dilihat kembali menyertai sesi latihan di bawah seliaan pemangku jurulatih Peteh, Badrul Afzan Razali sejak beberapa hari yang lalu.

Badrul Afzan menggalas peranan sebagai pemangku jurulatih selepas pengurusan Terengganu memilih untuk tidak meneruskan khidmat jurulatih Croatia, Tomislav Steinbruckner.

Shahrul Nizam yang mesra disapa Nijey memaklumkan beliau tidak sabar untuk kembali beraksi menjelang aksi liga menentang PDRM FC pada 4 Oktober.

“Pasukan PDRM FC sebuah pasukan yang susah diramal, mereka mempunyai barisan serangan berkualiti yang membuatkan kita perlu sentiasa berwaspada.

“Apa yang pasti, saya sudah tidak sabar untuk kembali beraksi dan memberikan segalanya untuk pasukan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sejak menyertai pasukan itu dari Kelantan FC pada 2021, Shahrul Nizam sudah merekodkan lebih 100 penampilan buat skuad Peteh.

Terengganu bakal melayan kunjungan The Cops di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA). Aksi ini dilihat peluang buat Peteh menamatkan penantian kemenangan mereka sejak kali terakhir melakukannya pada 10 Ogos lalu.