Terengganu FC mengumumkan bahawa Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai telah meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif kelab bagi meneruskan peluang baharu dalam kerjaya beliau.
Pihak kelab merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas segala jasa, komitmen, dan dedikasi beliau sepanjang tempoh perkhidmatan bersama Terengganu FC.
Sheikh Farouk memainkan peranan penting dalam memperkukuh pengurusan kelab serta menyumbang kepada pembangunan TFC, sama ada di dalam mahupun di luar padang.
Dalam kenyataan perpisahan, Sheikh Farouk menzahirkan ucapan terima kasih buat semua warga kerja Terengganu atas segala sokongan dan kerjasama yang diberikan selama hampir 8 bulan bersama.
“Saya merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Terengganu FC atas sokongan yang diberikan sepanjang tempoh saya bersama kelab ini. Saya mendoakan kejayaan berterusan buat TFC, Loyalty Never Fades!”
Terengganu FC mendoakan agar beliau terus berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi selepas ini, dan segala pengalaman yang diperoleh menjadi bekalan berharga untuk perjalanan seterusnya.