Shinji Kagawa Dedah Kualiti Dion Cools
MakanBola
Cerezo Osaka

Legenda Manchester United, Shinji Kagawa memuji kualiti yang dimiliki kapten Harimau Malaya, Dion Cools.

Antara kualiti yang didedahkan jeneral tengah Cerezo Osaka itu ialah beliau bukan saja memberikan prestasi terbaik setiap kali beraksi di atas padang.

Malah, Kagawa melihat Cools memanfaatkan pengalaman beraksi di Eropah dan sebagai kapten Harimau Malaya untuk membantu benteng Cerezo.

“Memiliki khidmat Dion di sini ialah satu perkara yang menakjubkan. Beliau jenis pemain yang diingini mana-mana pasukan.

“Beliau memiliki pengalaman beraksi di Eropah (terutama) di Liga Juara-Juara UEFA (UCL). Beliau juga merupakan kapten bagi skuad kebangsaannya (Harimau Malaya).

“Ada rasa percaya yang besar terhadap cara permainannya. Beliau seorang pemain yang akan berikan yang terbaik tak kira situasi. Jadi, sebagai rakan sepasukan, itu satu perkara yang menenangkan,” katanya.

Kagawa turut mengakui usaha Cerezo mendapatkan Cools tanpa perlu mengisi slot pemain asing dilihat satu urusan perpindahan yang bagus. Ini kerana ini menjadikan beliau sebagai aset pasukan terutama di bahagian pertahanan.

“Beliau seorang pemain yang hebat dan profesional. (Cerezo) mendapatkannya tanpa menggunakan slot pemain asing ialah satu perkara yang hebat.

“Beliau seorang yang profesional baik di dalam mahupun di luar padang,” tambahnya.

Kagawa berkata demikian dalam dokumentari khas Cools yang disiarkan di saluran YouTube rasmi Cerezo. Bekas pemain Buriram United itu dilaporkan kekal bersama kelab Jepun itu selama setahun lagi.