Shopee Cup: Faisal Halim Wira Selangor Jinakkan CAHN
MakanBola
SELANGOR FC

Selangor menumbangkan wakil Vietnam, CAHN dalam aksi ke-4 saingan Shopee Cup musim ini dengan keputusan 2-0 hasil dua jaringan Faisal Halim di halaman sendiri pada Rabu.

The Red Giants membariskan Kalamullah Al Hafiz di benteng terakhir dengan Faisal Halim sebagai ketua pasukan manakala Chrigor Moraes mengemudi jentera serangan.

Sementara itu, CAHN menurunkan Nguyen Filip di bahagian penjaga gol dan Alan Grafite menjadi ayam tambatan pasukan tersebut bagi aksi ini.

Gergasi Merah bermula garang dengan melancarkan beberapa serangan berbahaya menerusi Hugo Boumous & Chrigor ke arah kubu wakil Vietnam, CAHN apabila mendapat tonik tambahan penyokong – penyokong sendiri yang hadir ke stadium namun gagal menepati sasaran.

CAHN dilihat turut memberi tekanan kepada pasukan Selangor menerusi gerakan barisan hadapan yang diketuai oleh Alan Grafite dan Nguyen Quang Hai.

Memasuki minit ke 30′ kedudukan masih terikat tanpa jaringan bagi kedua-dua pasukan meskipun menampilkan aksi yang cukup bertenaga.

Chrigor Moraes melepaskan satu rembatan kencang pada minit ke-33 namun ketangkasan penjaga gol CAHN, Nguyen Filip harus diberi pujian.

Kalamullah Al-Hafiz berjaya menepis satu percubaan tepat oleh pemain CAHN pada penghujung separuh masa pertama bagi memastikan gawang Selangor tidak dibolosi.

Aksi babak pertama tamat dengan keputusan terikat tanpa jaringan bagi kedua-dua pasukan.

Bersambung babak kedua, CAHN melepaskan satu percubaan berbahaya menerusi Bui Hoang namun peluang tersebut berjaya ditepis oleh penjaga gol Selangor, Kalamullah Al-Hafiz.

Gergasi Merah berjaya membuka akaun jaringan pada minit ke-60 menerusi bintang kelab tersebut, Faisal Halim sekaligus menjarakkan kedudukan aksi dengan satu gol.

Chrigor Moraes hampir meledak gol kedua aksi pada minit ke-65 namun rembatan beliau tersasar jauh dari gawang pasukan CAHN.

Faisal Halim merobek gawang pasukan CAHN kali kedua pada minit ke-69 selepas menerima umpanan cantik oleh pemain import baharu, Hugo Boumous.

Memasuki minit ke-75 kedudukan masih didahului oleh pasukan tuan rumah, Selangor dengan dua jaringan.

Chrigor Moraes melepaskan satu rembatan kencang pada penghujung babak kedua namun percubaan tersebut gagal menerjah gawang pasukan CAHN.

Aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya tamat dengan keputusan 2-0 memihak kepada pasukan tuan rumah, Selangor bagi aksi ke-4 saingan Shopee Cup musim ini.