Bekas penyerang Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha percaya Terengganu FC mampu mencipta kejutan menjelang aksi terakhir Kumpulan A Shopee Cup.
Aksi terakhir Kumpulan A Shopee Cup bakal menemukan Peteh dan kelab gergasi Thai League 1, BG Pathum United.
BG Pathum dilihat pasukan pilihan kerana memiliki ramai pemain ternama seperti Chanathip Songkrasin, Sarach Yooyen, Ikhsan dan Ilhan Fandi. Selain itu, aksi ini menyaksikan pasukan itu akan beraksi di gelanggan keramat mereka, Stadium BG.
Meskipun begitu, Norshahrul yang mesra disapa Matyo percaya Terengganu mampu mencipta kejutan ke atas The Rabbits itu.
Perkara itu boleh dilakukan dengan syarat mereka mengulangi persembahan cemerlang yang ditampilkan dalam aksi separuh akhir kedua Unifi Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Kalau mereka menggunakan pendekatan seperti dalam separuh masa kedua (aksi menentang JDT), saya rasa tidak mustahil mereka boleh mendapat keputusan positif bila bermain di Stadium BG,” katanya semasa menjadi panel Arena Bola.
Aksi tersebut menyaksikan JDT berjaya menewaskan Peteh 2-1. Meskipun tewas, Terengganu memberi tentangan sengit termasuk menjaringkan gol menerusi Ismaheel Akinade.
Peteh bakal menentang BG Pathum pada 5 Februari ini. Kedua-dua pasukan sedar hanya kemenangan yang menjamin kemaraan mereka ke separuh akhir Shopee Cup.