PSM Makassar bakal beraksi menentang Terengganu FC dalam aksi keempat Kumpulan A Shopee Cup tanpa kelibat orang besi mereka, Yuran Fernandes.
Ini kerana bek tengah Cape Verde berusia 30 tahun itu masih berehat akibat kecederaan semasa menentang kelab Kemboja, Svay Rieng pada 8 Januari lalu.
Perkara ini turut disahkan jurulatih Juku Eja, Bernardo Tavares selepas aksi terbaru Liga 1 menentang PSBS Biak pada 18 Januari lalu.
“Yuran tidak ada di sini (Stadium Batakan), jadi tidak ada di sini,” katanya seperti dilaporkan Celebes Media.
“Dalam liga, pemain dapat penggantungan untuk kutipan (kad kuning), kadang-kadang pula cedera. Yuran cedera.”
Sejak aksi menentang Svay Rieng, Fernandes sudah terlepas dua aksi liga bersama PSM Makassar. Beliau tidak diturunkan dalam aksi menentang Persis Solo dan PSBS Biak.
Ketiadaan bekas bek tengah Olhanense itu menyaksikan Tavares menggunakan khidmat Aloisio Neto dan Akbar Tanjung sebagai gandingan di bahagian bek tengah.
PSM Makassar bakal menentang Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pada 22 Januari.
Kedua-dua pasukan memburu kemenangan atas sebab berbeza. PSM memburu satu lagi kemenangan untuk memastikan slot separuh akhir Shopee Cup dalam genggaman.
Peteh pula memburu satu lagi kemenangan untuk meningkatkan peluang mara ke separuh akhir kejohanan itu. Situasi mereka turut dibantu dengan kemenangan 5-0 ke atas Shan United baru-baru ini.