Advertisement
Shopee Cup: Terengganu Rancakkan Saingan Kumpulan A
Asia Tenggara
MakanBola
Terengganu FC

Pemain tengah Terengganu FC, Manuel Ott percaya kemenangan pasukan itu menghangatkan lagi persaingan merebut slot juara dan naib juara Kumpulan A Shopee Cup.

Peteh menghidupkan kembali peluang mara ke separuh akhir apabila membelasah Shan United 5-0. Safawi Rasid, Manuel Ott dan Akhyar Rashid mencetak nama sebagai penjaring.

Dua gol yang dijaringkan pemain tengah Filipina itu turut menjadikan Ott sebagai pemain terbaik perlawanan.

Shan’s Warriors turut bernasib malang apabila terpaksa beraksi dengan sembilan pemain. Ini selepas Htet Min Zwe dan Zwe Khant Min diperintah keluar padang oleh pengadil Jepun, Koji Takasaki.

Keputusan ini menyaksikan Terengganu di tangga keempat dengan empat mata, satu mata di belakang BG Pathum dan Thanh Hoa. PSM Makassar pula terus unggul menerajui kumpulan dengan tujuh mata.

Ott percaya kemenangan ini menyuntik semangat Terengganu untuk memburu keputusan positif dalam baki dua aksi Kumpulan A Shopee Cup.

“Saya amat bangga dengan pasukan, tiga mata pertama dalam peringkat kumpulan. Gembira kerana akhirnya dapat meraih kemenangan (dalam Shopee Cup),” katanya selepas perlawanan.

“Ya, kemenangan ini menjadikan (persaingan dalam) kumpulan makin menarik. Sudah tentu kita mahu menang baki dua perlawanan.”

Peteh kini memiliki baki dua aksi kumpulan iaitu aksi menentang PSM Makassar pada 22 Januari. Ini disusuli aksi terakhir menentang BG Pathum pada 5 Februari.

Hanya juara dan naib juara kumpulan saja yang berpeluang layak ke separuh akhir Shopee Cup.

Fokus Terengganu kini beralih kepada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT). Aksi tersebut bakal berlangsung pada 17 Januari ini.