Jurulatih Malaysia Bawah 16 Tahun (B-16), Shukor Adan memuji mentaliti yang dipamerkan anak buahnya ketika menentang Indonesia dalam aksi terbaru Kejuaraan B-17 ASEAN.
Selepas tewas kepada Vietnam dalam aksi pertama Kumpulan A, skuad negara berdepan satu lagi tugas sukar menentang Indonesia dalam aksi kedua kumpulan.
Meskipun berdepan anak buah Kurniawan Dwi Yulianto yang berstatus pasukan tuan rumah, Malaysia memastikan kemenangan milik mereka menerusi gol Fareez Danial Fadzly pada babak pertama.
Indonesia cuba bangkit pada separuh masa kedua. Walau bagaimanapun, anak buah Shukor menunjukkan mentaliti mantap dan mempertahankan kelebihan mereka sehingga wisel penamat.
Bekas pemain pertahanan kebangsaan itu menyifatkan mentaliti yang ditampilkan skuad muda Malaysia menjadi kunci buat mereka meraih kemenangan.
“Pertama sekali, saya nak ucapkan syukur Alhamdulillah atas kemenangan Malaysia. Saya fikir hari ini para pemain telah mencabar diri mereka selepas tewas kepada Vietnam.
“Dan mereka telah membuktikan bahawa mereka memiliki mentaliti yang sangat kuat,” katanya seperti dilaporkan CNN Indonesia.
Shukor turut memuji anak buahnya bukan saja kerana tidak gentar menentang Indonesia. Malah, mereka turut melaksanakan pelan permainan dengan baik terutama pada separuh masa kedua.
“Hari ini (semalam) turut menunjukkan hasil latihan kita yang sangat efektif terutama pada separuh masa kedua bila berdepan corak permainan Indonesia.
“Pemain-pemain mempunyai semangat juang yang tinggi ketika bertahan dan kita berhasil mematahkan semangat serangan pasukan Indonesia. Itulah yang terbukti pada babak kedua tadi,” ujarnya.
Malaysia berpeluang mara ke separuh akhir Kejuaraan B-17 ASEAN. Perkara ini boleh berlaku dengan syarat mereka mengalahkan Timor Leste dan Indonesia tewas kepada Vietnam dalam aksi terakhir Kumpulan A.