Penjaga gol kebangsaan, Sikh Izhan Nazrel berharap Penang FC segera menyerap ilmu yang diajar pemangku jurulatih pasukan itu, Merzagua Abderrazak.
Merzagua yang juga pengarah teknikal pasukan itu menggalas peranan sebagai pemangku jurulatih selepas pengurusan Penang memilih merehatkan jurulatih sebelumnya, Akmal Rizal Ahmad Rakhli.
Keputusan itu dibuat susulan Penang gagal merekodkan sebarang kemenangan dalam lima perlawanan. Ini termasuk kekalahan 1-0 di tangan Sri Pahang FC pada 20 Oktober lalu.
Keadaan ini menyebabkan Harimau Kumbang kini berada di tangga ke-11 liga dengan 11 mata daripada 12 perlawanan.
Sikh Izhan mengakui dengan kehadiran Merzagua sebagai jurulatih, Penang perlu cepat menyesuaikan diri dengan tuntutan dan strategi permainan beliau.
Ini bagi memastikan Penang dapat mengakhiri penantian meraih tiga mata penuh di hadapan penyokong di Stadium Bandaraya pada 25 Oktober ini.
“Kami sebagai pemain, kami faham dengan situasi sekarang. Dengan ketiadaan Coach Akmal (sebagai jurulatih) dan (peranan itu) diambil alih oleh pengarah teknikal, Encik Merzagua (Abderrazak).
“Jadi, dalam persediaan beberapa hari ini, kami sebagai pemain kena adaptasi dengan lebih cepat supaya perlawanan kali ini lebih baik daripada perlawanan-perlawanan sebelum ini,” katanya kepada Nadi Bola.
Sikh Izhan turut mengakui persembahannya di hadapan gawang kurang memuaskan sejak kebelakangan ini. Justeru, beliau berharap bukan saja dapat memperbaiki persembahannya.
Malah, Sikh Izhan berharap penyokong Penang dapat memberi sokongan tidak berbelah-bahagi kepada pasukan itu untuk meraih tiga mata penuh.
“Bagi saya, ya saya faham. Setiap orang melakukan kesilapan dan saya ambil kesilapan saya itu secara positif untuk diri saya sendiri.
“Kita bermain bola sepak di atas padang dengan 11 orang pemain. Jadi, tak boleh salahkan siapa-siapa. Menang, kalah atau seri, itu adat permainan. Jika 11 orang bergerak sebagai satu pasukan, Insya Allah akan beri hasil yang terbaik.,” ujarnya.
Penang bakal berhadapan Sabah FC di Stadium Bandaraya pada 25 Oktober ini. Sabah tiba dengan suntikan semangat menerusi kemenangan 4-2 ke atas Perak FC pada 19 Oktober lalu.