Ketua jurulatih Ulsan Hyundai, Hong Myung-bo mengakui tidak menyimpan barisan bintangnya secara sengaja kerana mahu beraksi di Liga Juara-Juara AFC (ACL) menentang JDT.
Juara K League 1 itu datang ke Stadium Sultan Ibrahim dengan motivasi terbaik selepas merangkul juara liga kali ke-2 berturut-turut.
Menerusi sesi sidang media pra perlawanan, pengendali kelahiran Korea Selatan itu menjelaskan kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam mengenai punca beberapa bintang utama disisihkan ketika aksi terakhir berdepan Daegu.
Menurut penjelasan beliau, penukaran pemain dalam kesebelasan utama pasukan adalah berpunca daripada kekuatan lawan yang berbeza-beza.
“Oh ini bukan kerana kami mahu berdepan JDT (punca rehatkan pemain). Akan tetapi, fokus pasukan adalah untuk meletakkan mereka yang selayaknya diturunkan berdasarkan lawan kita.”
“Ini bukannya bertujuan untuk merehatkan pemain bagi aksi ini,” jelasnya kepada Astro Arena.
Perkara ini jelas terbukti ketika berdepan JDT di laman sendiri tempoh hari apabila beliau menurunkan kesebelasan yang agak berbeza berbanding aksi sebelumnya.
Beliau bagaimanapun menjangkakan aksi yang cukup sengit daripada pasukannya bagi menghadapi tentangan tuan rumah.
Ketika ini, JDT menghuni tangga ketiga kumpulan dengan tiga mata daripada tiga perlawanan sementara Ulsna di tangga kedua dengan 6 mata.