Singapore Open: Viktor Axelsen Sekat Impian Separuh Akhir Leong Jun Hao
UltraSukan

Hasrat wakil tunggal perseorangan lelaki Malaysia, Leong Jun Hao untuk mara ke separuh akhir Singapore Open 2024 disekat jaguh nombor satu dunia, Viktor Axelsen.

Selepas berjaya mengejutkan juara bertahan dari Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting pada pusingan kedua, anak jati Setapak, Kuala Lumpur itu berharap dapat meneruskan momentum hari ini.

Menanti beliau di pusingan suku akhir ialah Axelsen. Dari segi ranking dan pengalaman, kelebihan itu dimiliki oleh juara Malaysia Masters 2024 itu berbanding Jun Hao.

Pengalaman yang dimiliki Axelsen dimanfaatkan sepenuhnya beliau pada set pertama. Jun Hao yang berstatus pemain ke-36 dunia berdepan kesukaran menyekat kepelbagaian pukulan yang dibuat jaguh Denmark itu.

Ini membuka ruang kepada Axelsen untuk mendahului dengan selesa pada kedudukan 11-6. Meskipun Jun Hao cuba memberi tentangan, bekas pemenang Sukan Olimpik 2020 itu kekal tenang sebelum menang dengan keputusan 21-12.

Bekas juara Malaysia Masters 2023 itu cuba bangkit pada set kedua. Pada awalnya, Jun Hao dan Axelsen bersaing sengit mendapatkan mata di mana pada satu ketika, kedua-duanya terikat 5-5.

Jaguh Denmark itu kemudiannya meraih kelebihan dua mata apabila mendahului pada kedudukan 11-9. Kelebihan itu terus dilebarkan Axelsen sebelum meraih kemenangan dengan keputusan 21-11

Axelsen bakal berdepan cabaran lebih sukar di peringkat separuh akhir Singapore Open 2024 yang berlangsung esok.

Ini kerana beliau akan menentang sama ada bekas juara dunia 2021 dari Singapura, Loh Kean Yew atau jaguh perseorangan lelaki dari China, Li Shifeng.

Kedua-duanya bakal berentap dalam satu lagi aksi suku akhir acara perseorangan lelaki yang berlangsung hari ini.