Situasi Sukar Buat Kelantan RW
MakanBola
Kelantan Red Warrior FC

Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) berdepan situasi sukar ketika ini.

Kelab Pantai Timur itu memaklumkan tiga orang pemain disahkan positif influenza selepas menjalani ujian saringan yang dikendalikan oleh pasukan perubatan kelab.

Ujian saringan terhadap 17 lagi pemain pula mendapati lapan pemain menunjukkan gejala termasuk demam dan sakit badan. Kesemua pemain berkenaan kini dipantau rapi oleh pihak pengurusan dan pasukan perubatan.

Gejala influenza mula dikesan sebelum aksi menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) baru-baru ini. Situasi itu menyebabkan beberapa pemain yang diturunkan terpaksa beraksi dalam keadaan kurang baik.

Meskipun begitu, semua pemain tetap menampilkan semangat juang tinggi sepanjang 90 minit perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

Situasi ini memerlukan perhatian sepenuhnya bagi memastikan kesihatan pemain terjamin selain mencegah penularan jangkitan dalam kalangan pasukan. Kelantan RW memandang serius perkara ini dengan mengambil kira jadual padat yang bakal dihadapi pasukan itu sehingga pertengahan September.

Pengurusan kelab turut mengambil langkah sewajarnya dengan meminta doktor kelab melakukan pemantauan kesihatan secara berterusan.

Selain itu, tiga pemain yang disahkan positif telah diasingkan bagi mengurangkan risiko penularan influenza kepada pemain-pemain lain.

Kelantan RW juga telah menghantar laporan perubatan kepada Malaysian Football League (MFL) sebagai makluman rasmi mengenai tahap kesihatan terkini pasukan itu.

Kelantan RW dijadual bertemu Kuching City FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi pada 29 Ogos ini.