Skuad Indonesia Bawah 19 Tahun (B-19) terus mengatur persiapan Kejohanan AFF B-19 2024 apabila bakal menyertai Maurice Revello Tournament 2024.
Maurice Revello Tournament atau nama sebelumnya, Toulon Tournament merupakan kejohanan bola sepak remaja antarabangsa yang berprestij.
Malah, kejohanan ini dianggap kejohanan dunia tidak rasmi untuk pasukan bola sepak B-19 atau B-20 sebelum Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) memperkenalkan Piala Dunia Remaja (kini Piala Dunia B-20) pada 1977.
Edisi 2024 menyaksikan pada awalnya, penyertaan 10 pasukan iaitu Mesir, Korea Selatan, Mexico, Arab Saudi, Ivory Coast, Itali, Panama, Jepun, Ukraine dan tuan rumah, Perancis.
Walau bagaimanapun, Mesir kemudiannya menarik diri daripada menyertai Maurice Revello Tournament. Ini membawa kepada penyertaan Indonesia dalam kejohanan remaja berprestij itu.
Pengumuman penyertaan Tim Garuda diumumkan penganjur menerusi satu hantaran di platform media sosial rasmi mereka semalam.
“Menggantikan skuad Mesir yang telah menarik diri daripada Maurice Revello Tournament Ke-50, kami merasa gembira untuk mengalu-alukan Indonesia! Pasukan Indonesia akan bertanding dalam kejohanan buat kali ketiga!” kata pihak penganjur dalam satu kenyataan.
Indonesia berada dalam Kumpulan B bersama Ukraine, Jepun, Panama dan Itali. Indonesia akan menentang Ukraine pada 4 Jun sebelum disusuli perlawanan menentang Panama pada 6 Jun.
Selepas itu, skuad muda Indonesia akan menentang Jepun pada 8 Jun sebelum menentang Itali untuk aksi terakhir kumpulan pada 12 Jun.
Dua pasukan terbaik dalam setiap kumpulan akan layak ke separuh akhir. Kejohanan ini melahirkan ramai bintang bola sepak terkemuka seperti Cristiano Ronaldo, David Beckham, Alan Shearer, James Rodriguez dan Thierry Henry.