Kelab Jepun, Tokyo Verdy bakal menjadi lawan buat skuad muda Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam satu kejohanan di Singapura.
JDT bawah 15 telah dijemput bagi menyertai Lion City Cup 2024 pada awal Oktober hadapan bersama-sama tiga lagi pasukan iaitu Tokyo Verdy, BG Pathum dan juga Singapura B-15.
Untuk rekod, ini merupakan penampilan pertama pasukan muda Harimau Selatan di kejohanan ini selain Tokyo Verdy dari Jepun yang turut diundang selaku pasukan jemputan.
Manakala, BG Pathum hadir ke kejohanan ini berbekalkan status juara bertahan setelah menewaskan Singapura B-15 menerusi penentuan sepakan penalti edisi yang lalu.
Untuk Lion City Cup edisi 2024, JDT bakal berdepan Tokyo Verdy di peringkat separuh akhir sementara tuan rumah, Singapura B-15 pula akan menentang BG Pathum.
Aksi separuh akhir dijadualkan pada 4 Oktober sementara peringkat akhir selang dua hari kemudian dengan kesemua perlawanan dilangsungkan di Stadium Jalan Besar.