Skuad muda Singapura mengubati luka tersingkir awal daripada saingan Kejohanan Asean B-16 2024 apabila berjaya menewaskan Filipina dalam aksi terakhir Kumpulan A sebentar tadi.
Singapura menurunkan beberapa muka baharu dan meletakkan dua bintang utama pasukan seperti Muhammad Helmi dan Harith Danish di bangku simpanan.
Perlawanan dimulakan dengan penguasaan bola lebih terarah kepada Singapura manakala Filipina dilihat lebih bertahan.
Singapura melakukan kejutan apabila membuat beberapa pertukaran awal dengan membawa masuk Helmi dan Harith Danish bagi mencari jaringan.
Percaturan jurulatih Singapura itu nyata positif apabila Harith Danish meledak jaringan pembukaan pada minit ke-35 hasil gelecekan menarik di dalam kotak penalti.
Jaringan tersebut kekal sebagai jaringan tunggal sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Singapura meneruskan penguasaan dan serangan ke kubu Filipina bagi mendapatkan jaringan tambahan.
Helmi hampir sahaja meledak jaringan kedua pada minit ke-60 selepas penyerang berbisa itu berdepan situasi satu lawan satu dengan penjaga gol lawan, namun percubaannya cemerlang ditepis penjaga gol Filipina.
Singapura akhirnya berjaya menjarakkan kedudukan menjadi 2-0 selepas Helmi menyudahkan hantaran Harith di dalam kotak penalti.
Filipina terus tertekan kerana masih gagal mendapatkan rentak permainan sepanjang perlawanan ini berlangsung.
Selepas serangan demi serangan, Singapura berjaya menambah jaringan ketiga pada minit ke-80 melalui rembatan pemain gantian, Rae Peh.
Selang empat minit selepas itu, Rae Peh memastikan Pesta gol Singapura berterusan menerusi jaringan keempat.
Jaringan itu menutup perlawanan dengan kemenangan 4-0 buat Singapura sekali gus mencatatkan kemenangan pertama dalam kejohanan ini.
Singapura dan Filipina adalah dua pasukan yang tersingkir awal selepas tewas pada dua aksi peringkat kumpulan.