Skuad bola sepak wanita Scotland terus mengekalkan rekod tanpa kalah dalam pusingan kelayakan Women’s EURO 2025 apabila membelasah Israel 4-1.
Perlawanan ini berlangsung tanpa kehadiran penonton di Hampden Park. Meskipun begitu, The Guardian melaporkan perlawanan ditangguhkan selama 30 minit selepas seorang penunjuk perasaan merantai dirinya pada gol dengan memakai baju “Kad Merah Kepada Israel”.
Apabila wisel permulaan ditiup pengadil, Scotland tampil garang pada babak pertama. Dan mereka tidak menunggu lama membuka tirai jaringan menerusi Claire Emslie pada minit ke-16.
13 minit selepas itu, penyerang skuad wanita Aston Villa, Kristy Hanson mencipta nama sebagai penjaring.
Emslie terus menjadi duri dalam daging kepada Israel dengan menyumbat gol ketiga pada minit ke-36. Keputusan 3-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Scotland yang dibimbing Pedro Martinez Losa terus memberi tekanan kepada kubu pertahanan Israel.
Gawang pelawat yang dikawal Fortuna Rubin bocor lagi buat kali keempat apabila Scotland dianugerahkan sepakan penalti. Ini selepas pengadil, Deborah Bianchi mengesan kekasaran ke atas pemain tuan rumah, Chelsea Cornet dalam kotak penalti.
Sepakan penalti itu mudah disempurnakan menerusi penyerang Tottenham Hotspur, Martha Thomas pada minit ke-63.
Israel mendapat gol saguhati menerusi Talia Sommer pada minit ke-84. Keputusan 4-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Scotland menerajui Kumpulan 2 kelayakan Liga B Women’s EURO 2025 dengan kelebihan jaringan meskipun berkongsi tujuh mata dengan Serbia.
Kedua-dua pasukan akan kembali bertemu pada 4 Jun di stadium neutral untuk aksi keempat kumpulan.