Pasukan gergasi Liga Super, Selangor FC akhirnya boleh menarik nafas lega selepas slot pasukan ke pentas Asia musim hadapan sudah terjamin.
Teka-teki mengenai masa depan The Red Giants mula dipersoal selepas satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John ketika ditemu bual oleh wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
“Mekanisme ini patutnya sudah ditentukan oleh peraturan liga domestik. Sebelum mereka bermula, mereka akan memberitahu pasukan cara bagaimana mereka biasanya memilih wakil Malaysia ke peringkat Asia.
“Jadi, contohnya Malaysia. Boleh pastikan pasukan kedua sama ada dari liga atau piala. Piala pun ada dua kan, Piala FA dan Piala Malaysia. Jadi, yang itu patut ditentukan oleh MFL dan FAM bagi menentukan wakil Malaysia nanti,” katanya hari ini.
Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sememangnya sudah pun meletakkan garis panduan yang jelas tentang kriteria dua pasukan yang bakal menggalas tugas Malaysia di pentas Asia sejak awal musim.
Bagi musim 2024/2025, AFC telah memperuntukkan dua slot pertandingan kelab AFC bagi Tier 1 dan Tier 2.
Ahli Lembaga Pengarah (BOD) MFL telah membuat keputusan berdasarkan perubahan baharu yang dilakukan oleh AFC mengenai format pertandingan kelab AFC bagi musim 2024/2025.
“Berdasarkan keputusan BOD itu, juara Liga Super 2023 akan layak beraksi di pertandingan kelab AFC Tier 1 manakala juara Piala FA akan mendapat slot ke pertandingan kelab AFC Tier 2.
“Sekiranya juara Liga Super dan juara Piala FA bagi musim 2023 adalah kelab yang sama, maka juara Liga Super akan beraksi dalam pertandingan kelab AFC Tier 1 dan naib juara Liga Super pula akan layak bertanding dalam saingan kelab AFC Tier 2.”
Keputusan akhir akan dipertimbangkan semula sekiranya kelab yang layak tidak menepati syarat pelesenan kelab oleh AFC.
“Jika kelab-kelab yang layak ke pertandingan tersebut gagal menepati syarat-syarat Perlesenan Kelab AFC, maka penggantian kelab yang akan layak ke pertandingan tersebut di atas adalah tertakluk kepada keputusan dan kelulusan MFL,” jelas MFL.
Kemenangan anak buah Tan Cheng Hoe berdepan Kedah Darul Aman telah memastikan kedudukan pasukan terjamin di tempat kedua Liga Super 2023.