Sorakan dan kehadiran penyokong Selangor telah meraih tumpuan dari pihak media Thailand.
Selangor hadir ke Thailand bagi aksi pertama kumpulan H AFC Champions League 2 (ACL2) berdepan Muangthong United pada Khamis di Stadium Rajamangala.
Ini merupakan perlawanan pertama The Red Giants di pentas Asia setelah kali terakhir pada tahun 2016 dalam kejohanan AFC Cup yang berakhir hanya di peringkat kumpulan.
Dalam aksi tersebut, Ronnie Fernandez berjaya meletakkan Selangor di hadapan pada minit ke-47 sebelum Puracher Thodsanit menyamakan kedudukan 7 minit kemudian.
Aksi berakhir dengan keputusan seri 1-1 menyaksikan anak-anak buah Nidzam Jamil membawa pulang satu mata dari bumi Bangkok dan berada di kedudukan ketiga kumpulan H.
Di sebalik keputusan tersebut, kehadiran para penyokong Selangor yang hadir ke Stadium Rajamangala telah mendapat perhatian dan pujian termasuklah pihak media dari Thailand.
Satu hantaran telah dimuat naik oleh wartawan Thailand, Ta Lao yang kagum dengan bilangan kehadiran para penyokong The Red Giants yang dijangka lebih ramai dari peminat tuan rumah.
“(Tabik) hormat kepada peminat Selangor. Mungkin lebih ramai daripada peminat Muangthong petang ini di Stadium Rajamangala,” tulis Ta Lao di laman X.
Sementara itu, media dari Indonesia, Gara Gara Bola turut meluahkan rasa kagum yang sama dengan kehadiran para penyokong Selangor yang datang ke Thailand demi pasukan.
”Ratusan peminat Selangor memenuhi Stadium Rajamangala di Bangkok untuk menyokong penuh perjalanan Gergasi Merah dalam ACL2. Tabik, komrad Ultra Selangor,” tulis Gara Gara Bola.
Dalam satu lagi aksi kumpulan H, Jeonbuk Hyundai Motors tidak berdepan masalah untuk membelasah wakil Filipina, DH Cebu 6-0 di tempat lawan.
Saingan ACL2 akan kembali bersambung pada awal Oktober dengan Selangor bakal melayani kunjungan Cebu di Kelana Jaya manakala Muangthong bertemu Jeonbuk Hyundai.