Advertisements
Sony Norde Bakal Ke Liga 1 Indonesia
Transfer
MakanBola
Kedah Darul Aman FC

Kapten Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Sony Norde bakal berkelana ke Indonesia pada Disember ini.

Ini selepas wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi mendedahkan pemain sayap Haiti berusia 35 tahun itu bakal menyertai kelab Liga 1 Indonesia, Malut United.

Berita ini sekaligus menamatkan tempoh empat tahun Norde mewarnai saingan Liga Malaysia (Liga M) sejak 2020. Selain Kedah dan Terengganu FC, Norde juga pernah beraksi untuk kelab Melaka United FC.

Bekas pemain sayap Terengganu itu bakal bertolak ke Indonesia selepas aksi pusingan 16 pasukan terbaik Piala Malaysia 2024/25 menentang KL City FC.

“Sony Norde dijangka menyertai kelab Liga 1 Indonesia, Malut United selepas selesai perlawanan Pusingan 16 Piala Malaysia 2024/25 bertemu KL City. Semoga maju jaya, Kapten,” katanya di X.

Berita ini menyaksikan Sang Kenari bakal beraksi dengan empat tonggak import untuk baki kempen Liga M. Empat tonggak tersebut ialah Milos Gordic, Jose Cleylton, Sukhrob Nurullaev dan Ebenezer Assifuah.

Sepanjang beraksi dalam saingan Liga M, Norde telah merekodkan 99 penampilan, 20 gol dan 29 bantuan gol.

Antara pencapaian terbaik beliau di Malaysia ialah membantu skuad Penyu layak ke final Piala Malaysia 2023. Terengganu muncul naib juara selepas tewas kepada penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Bekas pemain sayap Mohun Bagan itu dijangka mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain sayap Malut United, Ilham Armaiyn. Ini selepas pemain sayap berusia 28 tahun itu perlu berehat sehingga Januari 2025 kerana mengalami kecederaan meniskus.