Beregu lelaki negara, Arif Junaidi-Yap Roy King terpaksa menelan kepahitan setelah kecundang kepada pasangan Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani dalam perlawanan akhir Spain Masters 2024.
Pasangan negara berada dalam momentum terbaik setelah mengejutkan beregu di ranking ke-45 dunia dari Perancis dengan keputusan straight set semalam.
Meskipun rekod pertemuan kedua-dua pasangan ini memihak lawan dari Indonesia, namun Arif dan Roy King tetap memberikan saingan sengit di awal set pertama dimulakan.
Namun, pengalaman yang dimiliki Gutama-Isfahani berjaya mematahkan setiap serangan yang diatur oleh Arif-Roy King memaksa kesilapan mudah dilakukan pasangan negara.
Set pertama berjaya dimenangi oleh beregu Indonesia tersebut dengan keputusan 21-18 meskipun Arif dan Roy King cuba bangkit mengejar ketika di hujung permainan.
Bersambung set kedua, Arif-Roy King yang menduduki ranking ke-65 dunia cuba bangkit melawan bagi merampas set kedua sekaligus mengheret permainan ke set penentuan.
Kedua-dua pasangan tampil memberi saingan dan saling mengejar mata namun Arif dan Roy King lebih unggul dengan jauh meninggalkan lawan dari Indonesia itu 17-12 pada suatu ketika.
Setelah bertarung beberapa minit, set kedua akhirnya berjaya dimenangi pasangan negara dengan keputusan 21-17.
Set penentuan menyaksikan beregu negara dipaksa bekerja keras untuk berdepan lawan di ranking ke-34 dari negara jiran itu.
Selepas pertarungan sengit yang ditempuh oleh kedua-dua pasangan, akhirnya beregu dari Indonesia itu muncul pemenang dengan keputusan tipis 21-19.
Tamat aksi, Arif Junaidi-Yap Roy King tumpas di tangan Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani dengan keputusan 18-21, 21-17, 19-21.
Keputusan ini menyaksikan impian beregu negara untuk merangkul kejuaraan kedua selepas bergelar juara pada Nantes International Challenge 2023 terkubur.