Barcelona meraih trofi pertama mereka untuk tahun 2025 apabila menewaskan Real Madrid 5-2 dalam aksi final Spanish Super Cup.
Meskipun dibelenggu masalah kewangan, Barca berharap dapat meraih trofi pertama di bawah kendalian jurulatih Jerman, Hansi Flick.
Real Madrid pula melihat aksi ini sebagai peluang membalas dendam selepas tewas 4-0 kepada musuh tradisi mereka dalam La Liga pada Oktober 2024.
Kylian Mbappe dan Robert Lewandowski masing-masing menjadi sandaran gol buat jurulatih Itali, Carlo Ancelotti dan Flick di atas padang.
Separuh masa pertama menyaksikan Los Blancos membuka tirai jaringan seawal minit pertama menerusi Mbappe. Penyerang Perancis itu mudah menyempurnakan hantaran Vinicius Jr mengatasi bekas penjaga gol Arsenal, Wojciech Szczesny.
Tersentak, Barca kembali mengatur rentak. Hasilnya, bintang muda Sepanyol, Lamine Yamal menyamakan kedudukan pada minit ke-22.
Real Madrid terus ditimpa malang apabila VAR mengesan kekasaran yang dilakukan Eduardo Camavinga ke atas Gavi dalam kotak penalti. Pengadil, Jesus Gil Manzano tidak teragak-agak memberi sepakan penalti kepada Barcelona.
Lewandowski mudah menewaskan penjaga gol Belgium, Thibaut Courtois pada minit ke-36. Ini gol ke-26 penyerang Poland itu dalam semua kejohanan untuk musim 2024/25.
Los Blancos makin derita apabila Barca mendahului 4-1 sehingga rehat. Raphinha dan Alejandro Balde memastikan juara La Liga 2022/23 itu memiliki kelebihan menerusi gol pada minit ke-39 dan minit akhir separuh masa pertama.
Bersambung selepas rehat, Ancelotti membuat beberapa pertukaran pemain dengan harapan dapat mengubah momentum perlawanan.
Real Madrid kemudiannya mendapat peluang apabila Szczesny diarah keluar padang oleh Manzano pada minit ke-56. Ini selepas penjaga gol Poland itu dikesan menghalang Mbappe daripada menjaringkan gol.
Rodrygo tenang menyempurnakan sepakan percuma dari luar kotak penalti yang menewaskan penjaga gol gantian, Inaki Pena.
Los Blancos bernasib baik kerana Vinicius Jr tidak dilayangkan kad kuning kedua oleh Manzano. Ini selepas pemain sayap Brazil itu membuat terjahan keras ke atas Jules Kounde.
Real Madrid berusaha mencari gol tambahan tetapi keputusan 5-2 kekal sehingga tamat perlawanan. Raphinha dipilih pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore dengan markah 9.0.
Selepas ini, kedua-dua pasukan kembali mengalihkan fokus kepada saingan Copa del Rey. Barcelona dan Real Madrid masing-masing berdepan Real Betis dan Celta Vigo pada 16 dan 17 Januari ini.