Advertisement
Sri Pahang Hilang Khidmat Saiful Jamaluddin, Alami Kecederaan Lutut
Liga Super
MakanBola
MFL

Pasukan Pantai Timur, Sri Pahang FC terpaksa melupakan khidmat pemain tengah muda, Saiful Jamaluddin.

Ini selepas jurulatih skuad Tok Gajah, Fandi Ahmad memaklumkan Saiful terpaksa direhatkan selepas mengalami sedikit kecederaan di bahagian lutut.

“Dia (Saiful) sebagai pemain tengah bertahan yang baik untuk kita. Tetapi sayangnya dia tidak dapat bermain untuk kita kerana mengalami sedikit kecederaan di lutut.

“Jadi, kita rehatkan dia. Alhamdulillah, pada musim lalu, kita mencuba dia di posisi itu kerana dia mempunyai teknik yang bagus, berdisiplin dan bekerja keras untuk kawan-kawan yang lain,” katanya dalam temubual pra-perlawanan di Stadium Negeri, Kuching hari ini.

Nama pemain tengah berusia 21 tahun itu menjadi tumpuan penyokong Sri Pahang selepas menunjukkan prestasi mantap semasa menentang Kelantan Darul Naim FC (KDN FC).

Bergandingan dengan pemain import Uzbekistan, Kuvondik Ruziev dan Baqiuddin Shamsuddin, Saiful memastikan gawang Tok Gajah tidak dibolosi dalam perlawanan tersebut.

Tanpa khidmat Saiful, Fandi menurunkan Azam Azih untuk membentuk bahagian tengah Sri Pahang bersama Ruziev dan kapten, Stefano Brundo untuk perlawanan menentang Kuching City FC.

Perlawanan itu berkesudahan seri 2-2 buat kedua-dua pasukan. Tuan rumah terlebih dahulu mendahului menerusi Tchetche Kipre dan Jordan Mintah pada babak pertama.

Walau bagaimanapun, Sri Pahang memastikan kedua-dua pasukan pulang dengan satu mata menerusi gol Adam Nor Azlin dan Manuel Hidalgo.