Berbaki satu sahaja perlawanan Liga Super musim ini, Sri Pahang dilihat terpaksa melepaskan beberapa pemain kerana tamat kontrak.
Antara pemain yang dilepaskan adalah penyerang berbisa dari Brazil, Lucas Silva dan pemain import dari Filipina, Kevin Ingreso.
Lucas Silva tidak dapat beraksi dengan baik buat Sri Pahang musim ini selepas dilanda beberapa siri kecederaan yang memaksa beliau berehat panjang.
Penyerang Brazil berusia 33 tahun itu hanya beraksi 8 perlawanan dalam kesemua aksi Sri Pahang musim ini dengan tiada sebarang gol berjaya dijaringkan.
Difahamkan kontrak Lucas tidak disambung selepas tamat 30 November yang lalu. Situasi yang sama turut berlaku kepada Ingreso yang telah mengucapkan selamat tinggal kepada Sri Pahang.
Penyerang Kpah Sherman adalah antara pemain yang mengucapkan selamat tinggal kepada Lucas Silva melalui instagram story beliau.

Lucas hadir ke Sri Pahang dengan rekod memukau bersama Penang FC musim lalu selepas berjaya meledak 11 gol daripada 15 perlawanan.
Namun prestasi tersebut tidak dapat diteruskan bersama Sri Pahang sehingga memaksa Sri Pahang membawa masuk penyerang baharu dari Brazil, Rafael Silva yang beraksi baik musim ini.
Sri Pahang kini berada di tangga ke-5 dengan mengumpul 44 mata daripada 25 perlawanan. Kedudukan kelima tersebut sah menjadi milik mereka musim ini selepas jurang agak besar untuk mereka mengejar Sabah FC di tangga keempat.