Sri Pahang Sempat Sambar Dua Bintang Korea Sebelum Tamat Jendela Perpindahan?

Fandi Ahmad Sri Pahang FC Sri Pahang Sempat Sambar Dua Bintang Korea Sebelum Tamat Jendela Perpindahan?
Sri Pahang FC
Azim Noor @mohdazim45
8:26pm 27/02/2023

Dengan tetingkap perpindahan Liga Malaysia (Liga M) bakal ditutup tidak lama lagi, pasukan-pasukan perlu bergegas mendapatkan pemain sasaran mereka. Dan Sri Pahang sempat menambah awang import mereka dengan menyambar dua pemain Korea.

Hal ini disahkan oleh jurulatih skuad Tok Gajah, Fandi Ahmad kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi selepas perlawanan Liga Super Negeri Sembilan-Pahang di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi semalam.

Walaupun identiti kedua-dua pemain tidak didedahkan, dua pemain ini bermain di posisi berbeza. Seorang daripadanya beraksi sebagai pemain sayap dengan seorang lagi mampu beraksi sebagai pemain tengah bertahan atau bek tengah.

“Seorang pemain Korea muda itu, dia pemain sayap tapi bagus dan cepat. Yang seorang lagi itu, bek tengah boleh, pemain tengah bertahan pun boleh,” katanya.

Dua pemain Korea itu bakal menyertai Lucas Espindola Silva, Stefano Brundo, Kpah Sherman, Sherzod Fayziev, Kevin Ingresso dan Michael Glassock sebagai awang import Sri Pahang musim ini.