Advertisement
Stadium Likas Catat Kehadiran Penonton Tertinggi 3 Kali Berturut-Turut
Liga Super
MakanBola
Sabah Football Club

Stadium Likas berjaya mencatat kehadiran penonton tertinggi tiga kali berturut-turut dalam saingan Liga Super 2023.

Ketika pertemuan Sabah menentang Kelantan dalam minggu kesembilan (LS9) pada 19 April yang lepas, Stadium Likas mencatat kehadiran penonton seramai 5210. Kehadiran ini merupakan kehadiran tertinggi berbanding aksi-aksi lain dalam minggu tersebut.

Sabah tidak menghampakan seluruh peminat yang hadir, meraih kemenangan bergaya mengatasi Kelantan 6-1.

Angka kehadiran di Stadium Likas terus bertambah pada minggu kesepuluh (LS10) ketika pertembungan antara Sabah menentang Selangor, seramai 14,444 orang yang hadir.

Meskipun tentangan sengit diberikan pasukan lawan, skuad The Rhinos tetap berjaya memastikan tiga mata berharga diraih apabila menewaskan Selangor 2-1 menerusi jaringan cantik Baddrol Bakhtiar dan Saddil Ramdani.

Pada aksi minggu kesebelas (LS11) saingan Liga Super pada kelmarin, Stadium Likas sekali lagi berjaya mengumpulkan sejumlah penonton yang ramai apabila aksi Sabah menentang Terengganu itu dihadiri seramai 12,096 orang.

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee bagaimanapun terpaksa akur dan berpuas hati meraih satu mata, apabila Terengganu berjaya menjaringkan gol saat akhir untuk meranapkan hasrat Sabah memungut tiga mata.

Kehadiran penonton di Stadium Likas menyaksikan gelombang penyokong skuad The Rhinos semakin bertambah dan Sabah setakat ini telah berjaya mengumpulkan sejumlah 72,486 penyokong hadir ke stadium sepanjang saingan musim ini.

Dengan prestasi membanggakan ditampilkan anak buah Datuk Ong Kim Swee, Sabah kini telah mencatat enam kemenangan, tiga seri dan dua kekalahan sepanjang aksi Liga Super. The Rhinos kini menghuni tangga kelima liga dengan 21 mata diraih selepas 11 perlawanan.