Stadium Piala Dunia Gwangju Bakal Jadi Venue Baharu Gwangju
MakanBola
K-League

Kelab K-League 1, Gwangju FC bakal menggunakan Stadium Piala Dunia Gwangju sebagai venue baharu pasukan itu untuk musim 2025.

Pengumuman ini dibuat kelab berkenaan dalam satu hantaran di platform media sosial rasmi mereka baru-baru ini.

Perubahan ini dijangka memberi kelegaan kepada jurulatih Gwangju, Lee Jung-hyo. Ini kerana mereka tidak akan berdepan isu kualiti padang seperti yang dihadapi ketika beraksi di Stadium Bola Sepak Gwangju.

Isu padang yang teruk di stadium tersebut kerap dibangkitkan pasukan pelawat setiap kali menentang Gwangju bermula pada 2020.

Antara jurulatih yang menyuarakan rasa tidak puas hati tentang padang Stadium Bola Sepak Gwangju ialah jurulatih Australia, John Hutchinson.

Hutchinson yang ketika itu membimbing kelab Jepun, Yokohama F. Marinos cukup terkejut melihat keadaan padang Gwangju ketika menghadapi pasukan itu dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).

“Ada masalah dengan rumput (stadium). (Stadium Bola Sepak Gwangju) ini memang dipilih Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) (sebagai venue Gwangju).

“Tetapi saya lebih rela memohon maaf tentang keputusan perlawanan (kekalahan 7-3 di tangan Gwangju) daripada mengambil tanggungjawab tentang hal itu (isu padang),” katanya.

Isu ini juga menyebabkan aksi ACLE antara Gwangju dan Johor Darul Ta’zim (JDT) dipindahkan ke Stadium Yongin Mireu, 234 kilometer dari stadium keramat mereka pada 2024.

Aksi pertama Gwangju di stadium berkenaan ialah aksi pertama K-League 1 menentang Suwon FC pada 15 Februari.

Buriram United bakal menjadi pasukan Asia pertama menguji Gwangju di Stadium Piala Dunia Gwangju. Perlawanan terakhir Liga Timur ACLE itu bakal berlangsung pada 18 Februari ini.