Statistik PDRM vs JDT ‘Menggerunkan’
MakanBola
Astro Arena

Semalam, Johor Darul Ta’zim (JDT) mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas PDRM di Stadium MBPJ. Tetapi apa yang menarik perhatian ramai penyokong ialah statistik percubaan ke arah gol yang dibuat pasukan pelawat terhadap Sang Saka Biru.

Berdasarkan statistik, JDT melakukan 12 percubaan dengan sembilan daripadanya tepat ke arah gol. Bagaimanapun, hanya satu yang berjaya diterjemah sebagai gol iaitu gol Fernando Forestieri pada minit ke-61.

Tatkala penjaga gol Harimau Selatan, Syihan Hazmi Mohamed tidak perlu berbuat apa-apa, lain pula ceritanya dengan penjaga gol PDRM, Hakeem Hamidun. Walaupun ini merupakan kemunculan pertamanya bersama The Cops, Hakeem banyak kali menghampakan jentera serangan JDT diketuai Bergson da Silva.

Ini termasuklah menafikan sepakan penalti yang diambil Bergson sebelum rehat separuh masa. Prestasi mengagumkan yang ditunjukkan Hakeem turut menjadikan PDRM sebagai pasukan kedua selepas Selangor yang menghalang JDT menjaringkan gol pada separuh masa pertama.

Prestasi hebat yang ditonjolkan Hakeem turut dibantu oleh disiplin pertahanan PDRM diketuai James Okwuosa. Walaupun mereka kemudiannya dipaksa beraksi dengan 10 pemain susulan kad kuning kedua Kyaw Min Oo, Sang Saka Biru terus bertahan sehingga tamat perlawanan.

Dan itu turut menjelaskan mengapa jurulatih The Cops, Azzmi Aziz amat berpuas hati dengan prestasi anak-anak buahnya semalam. Disebabkan kerja keras semua pemain termasuk Hakeem, PDRM memastikan mereka tidak menjadi pasukan belasahan seperti yang dialami beberapa pasukan Liga Super lain.