Kedudukan bekas jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora bersama Wuhan Three Towns kini dalam bahaya.
Hotpot Football melaporkan pengurusan bekas juara Chinese Super League (CSL) 2022 itu sudah berkira-kira mahu memecat jurulatih Mexico itu.
Tindakan drastik itu terpaksa diambil kerana Wuhan kini menduduki tangga ke-15 liga selepas mengharungi 10 perlawanan liga.
Lebih pahit, Wuhan hanya merekodkan dua kemenangan, dua keputusan seri dan enam kekalahan. Kali terakhir pasukan itu meraih kemenangan ialah 21 April lalu ketika menentang Zhejiang FC.
Sekiranya pemecatan itu menjadi kenyataan, penolong jurulatih dan pengarah sukan kelab, Deng Zhuoxiang akan memikul tugas sebagai pemangku jurulatih.
Mora mula memikul tugas sebagai jurulatih Wuhan pada Januari lalu. Ini tugas kejurulatihan kedua beliau di Asia selepas membimbing JDT dari 2018 hingga 2022.
Selain JDT dan Wuhan, Mora pernah membimbing York United, Queretaro, Atlas dan Atletico Chiapas.