Status Giancarlo Gallifuoco? Ini Jawapan Dari FAM
MakanBola
KL CIty FC

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberikan jawapan berkenaan status pemain Kuala Lumpur City FC, Giancarlo Gallifuoco.

Baru-baru ini, Harimau Malaya secara rasminya menerima sentuhan tonggak naturalisasi baharu, Bergson da Silva dan juga pemain warisan, Brad Tapp untuk bersama pasukan kebangsaan.

Khabar itu disusuli oleh satu pengumuman oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Hj Rahman yang mengesahkan bahawa tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT), Manuel Hidalgo turut mendapat pelepasan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

“Bagi Hidalgo, kita (FAM) telah mendapat kelulusan daripada FIFA semalam. Senarai pemain yang bakal dipanggil ke kem latihan pusat FIFA ASEAN Cup 2026 akan kita umumkan esok,” ujarnya.

Namun begitu, situasi melibatkan Gallifuoco yang juga memasuki tahun kelimanya di Malaysia masih menjadi tanda tanya.

“Untuk Giancarlo, saya perlu dapatkan perincian terlebih dahulu.

“Saya akan mendapatkan butiran daripada unit undang-undang (FAM) terlebih dahulu kerana ia melibatkan isu teknikal,” tambahnya lagi.

Khabar ini juga memberi bayangan bahawa khidmat tonggak berusia 32 tahun itu berkemungkinan tidak dapat digunakan pada aksi FIFA ASEAN Cup 2026 kali ini.

Harimau Malaya akan membuka tirai saingan kempen FIFA ASEAN Cup 2026 bertemu pasukan ke-182 dunia, Bangladesh pada 25 September 2026 jam 5.00 petang (waktu Malaysia) di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.