Status sama ada pemain perseorangan lelaki kedua negara, Ng Tze Yong bakal menyertai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 atau tidak masih belum diputuskan.
Perkara ini dinyatakan oleh Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh kepada media selepas Majlis Pelancaran BATC 2024 di Setia Alam, Shah Alam baru-baru ini.
Ketika ini, Tze Yong sedang menjalani proses pemulihan selepas mengalami kecederaan koyak pada otot belakang dalam pusingan pertama Malaysia Open 2024.
Situasi ini bukan saja memaksa pemain berusia 23 tahun itu menarik diri daripada menyertai India Open 2024.
Malah, status penyertaannya dalam Indonesia Masters 2024 yang bakal berlangsung pada penghujung bulan ini juga masih belum disahkan.
Dengan tarikh akhir pendaftaran pemain-pemain BATC ialah 26 Januari ini, tidak banyak masa yang ada buat BAM untuk membuat keputusan.
“Saya fikir masih terlalu awal untuk kita membuat sebarang keputusan, saya rasa lebih elok kita beri masa kepada Tze Yong dan pengarah kejurulatihan, mana tahu (dia akan disenaraikan),”
“Sebab kejohanan ini (BATC) bulan depan kan? Jadi, mungkin ada masa, tapi masih terlalu awal (untuk buat keputusan),” ujarnya.
Seorang pemain sudah mengesahkan status menjadi sebahagian daripada skuad badminton kebangsaan iaitu pemain perseorangan lelaki nombor 10 dunia, Lee Zii Jia.
Sementara beregu lelaki kedua terbaik negara, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi pula mengesahkan mereka tidak akan menyertai BATC kali ini.
BAM meletakkan sasaran skuad negara mara ke separuh akhir BATC 2024. Ini bagi membolehkan Malaysia layak secara merit ke Piala Thomas dan Piala Uber 2024.
BATC 2024 bakal berlangsung dari 13 hingga 18 Februari hadapan di Shah Alam, Selangor.