Status kecederaan penyerang Filipina, Patrick Reichelt membuatkan KL City FC tidak senang duduk.
Penyerang berusia 36 tahun itu mengetuai jentera serangan The Azkals menentang Tajikistan dalam aksi penentuan tempat ketiga Pestabola Merdeka 2024.
Reichelt diberi kepercayaan oleh pengendali interim Filipina, Norman Fegidero untuk merobek gawang The Crowns bersama penyerang Aalesunds, Bjorn Kristensen.
Malangnya, bekas penyerang PT Prachuap itu mengalami kecederaan sebelum separuh masa pertama perlawanan berakhir. Beliau dilihat berjalan terhincut-hincut di atas padang selepas diterjah pemain Tajikistan.
Keadaan ini menyebabkan Fegidero memasukkan penyerang Phnom Penh Crown, Jarvey Gayoso sebagai pengganti Reichelt. The Azkals kemudiannya tewas 4-3 kepada The Crowns menerusi penentuan sepakan penalti.
Pengurusan The City Boys berharap kecederaan yang dialami Reichelt tidak terlalu serius. Ini kerana jika itu berlaku, ini bukan saja mengurangkan pilihan jurulatih, Miroslav Kuljanac di bahagian serangan.
Malah, ini menyukarkan lagi usaha pasukan itu untuk terus bersaing dalam kancah Liga Super dan saingan Shopee Cup.
Situasi ini tidak dibantu dengan sekatan perpindahan yang dikenakan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) ke atas KL City atas kesalahan pengisytiharan maklumat yang tidak tepat. Sekatan tersebut berkuatkuasa sehingga akhir musim 2024/25.
Seandainya Reichelt terpaksa disisihkan untuk tempoh yang lama, penyerang muda bakal menjadi taruhan Kuljanac sebagai pemain sokongan untuk Paulo Josue dan Haqimi Azim Rosli.
Antara nama yang berpotensi dipanggil jurulatih Croatia itu daripada skuad KL City Extension ialah Suhaimi Abu, Abdul Afiq Hilman Abd Halim, Ilhan Hakim Razmat dan Aiman Haikhal Azman.