Jurulatih Malaysia Bawah 16 Tahun (B-16), Shukor Adan mahu anak buahnya tidak memandang rendah cabaran Laos menjelang aksi separuh akhir Kejuaraan B-17 ASEAN.
Hal ini dinyatakan beliau dengan mengambil kira prestasi pasukan itu dalam saingan Kumpulan A.
Meskipun dilabel pasukan bukan pilihan, Laos bukan saja muncul juara kumpulan dengan tujuh mata. Malah, pasukan itu turut mengejutkan Thailand 3-2 dalam aksi terakhir Kumpulan A.
“Untuk saya, kita sudah analisis pasukan Laos. Barisan jurulatih telah memberi banyak pandangan berhubung pasukan Laos,” katanya.
“Jadi, apa yang kita lihat dari segi pasukan Laos ialah dari segi serangan balas dan komitmen sepanjang perlawanan.
“Itu sebab saya katakan Laos satu pasukan yang kuat dan tidak kalah dalam kumpulan meskipun ditempatkan bersama pasukan yang agak kuat. Walaupun mereka pasukan bukan pilihan, mereka berjaya mencipta kejutan dan mara ke semi final.”
Atas sebab itu, Shukor tidak mahu Malaysia dibuai dengan status pasukan pilihan dan memberi persembahan terbaik ketika menentang Laos nanti.
Ini termasuk melaksanakan pendekatan taktikal yang dilihat mampu membantu skuad muda negara meraih keputusan positif.
“Dari segi pendekatan taktikal untuk menghadapi pasukan Laos, kita sudah menerapkannya dalam sesi latihan. Dan saya harap semua berjalan lancar pada hari esok,” tambahnya.
Malaysia B-16 bakal menentang Laos pada 22 April. Satu lagi aksi separuh akhir bakal menemukan Vietnam dan Australia.
Sekiranya skuad muda negara berjaya menewaskan Laos, mereka berpeluang mengulangi pencapaian edisi 2019 di Chonburi, Thailand dengan mara ke final.