Perancang tengah Sabah FC, Stuart Wilkin yakin bapanya pasti berbangga dengan apa yang dikecapinya sekiranya beliau masih ada.
Perkara ini dikongsikan oleh pemain kelahiran Woking, England ini dalam satu sesi audio siar bersama Stef It Up baru-baru ini.
Beliau turut memaklumkan mengenai susur galurnya yang datang daripada Bentong, Pahang sebelum ibunya yang merupakan warganegara Malaysia mengikuti bapanya untuk menetap di England.
Stuart Wilkin memulakan karier awalnya sekitar usia 9 tahun bersama Akademi Southampton kira-kira 20 minit daripada bandar beliau menetap di England.
Pemain berketinggian 1.80 meter ini kekal di sana sehingga berusia 16 tahun sebelum mendapat tawaran biasiswa bola sepak dan membawanya ke Amerika Syarikat bersama MO State Bears.
Beliau akhirnya membawa diri ke Malaysia dan menyertai JDT selepas dihubungkan oleh agennya yang juga merupakan kenalan Junior Eldstal sekaligus mengembangkan kariernya di sini.
Bekas pemain Akademi Southampton ini bagaimanapun yakin bapanya pasti bangga melihat pencapaiannya sekarang setelah bersamanya dari awal kariernya bermula.
“Bapa tidak meletakkan tekanan kepada saya. Beliau tahu saya cintakan bola sepak dan sentiasa menyokong perjalanan karier saya.
“Beliau memandu sekitar 20 minit untuk menghantar saya berlatih, tunggu dan memandu semula untuk pulang. Ia agak letih untuknya beberapa kali seminggu dan saya tahun sangat susah ketika itu.
“Namun begitu, bapa saya sudah pun meninggal dunia tetapi jika beliau hidup, sudah pasti amat bangga dengan pencapaian saya,” jelas Stuart Wilkin.
Stuart juga bersyukur apabila ditawarkan kontrak untuk kekal di Sabah pada tahun 2023 setelah beraksi cemerlang selaku pemain pinjaman pada tahun 2022.