Kem sepak takraw Malaysia menerima tamparan hebat apabila kehilangan khidmat perejam berbisa, Noraizat Nordin untuk kempen Sukan Asia 2026.
Wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam melaporkan apit kanan berusia 27 tahun itu mengalami kecederaan di bahagian lutut. Zulhelmi turut memuat naik video Noraizat berjalan dibantu sambil dibantu staf pasukan.
“Noraizat Nordin atau mesra disapa Bangau cedera lutut, tampak terlepas untuk buat penampilan di pentas Sukan Asia Aichi-Nagoya. Seorang apit kanan dalam perancangan akan diterbangkan dari Kuala Lumpur ke Jepun,” katanya di X.
Ketiadaan Noraizat dilihat satu tamparan hebat kepada kem negara. Ini kerana beliau antara perejam yang cukup digeruni dalam arena sukan sepak takraw.
Wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi kemudiannya melaporkan Shahalril Aiman akan dibawa masuk sebagai pengganti Noraizat.
“CDM (Ketua kontinjen) Sukan Asia 2026 yang juga Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan sah akan bawa ‘terbang’ perejam, Shahalril Aiman ke Jepun malam ini bagi menggantikan Noraizat Nordin (Ijat Bangau) yang alami kecederaan otot ketika sesi latihan pagi tadi,” katanya di X.
Skuad sepak takraw negara berharap dapat merealisasikan matlamat meraih dua pingat emas untuk acara regu berpasukan dan antara regu.
Atas sebab itu, Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) memilih mengekalkan barisan pemain sama yang meraih dua pingat emas di Sukan SEA 2025 sebagai sandaran mendapatkan emas di pentas Sukan Asia.