Hasrat Johor untuk mara ke separuh akhir acara bola sepak Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 tidak kesampaian apabila tewas kepada Kelantan di peringkat suku akhir.
Kedua-dua pasukan memburu tiket ke separuh akhir selepas masing-masing mara selaku naib juara Kumpulan B dan juara Kumpulan A.
Separuh masa pertama menyaksikan Kelantan yang dibimbing Ariff Haji Hashim berusaha mencari kelebihan gol awal ke atas pasukan selatan tanah air itu.
Johor kemudiannya terpaksa membuat pertukaran awal dengan memasukkan Danish Hakimi Sahaludin menggantikan Danish Irham Mohd Nazri.
Penyokong pasukan Pantai Timur itu ceria apabila penjaga gol Johor, Haziq Aiman Mohd Esa menjaringkan gol sendiri pada minit kelapan.
Tersentak, Johor bangkit mengasak untuk mendapatkan gol penyamaan. Hasilnya, Naim Zainudin mengikat kedudukan 1-1 menerusi gol pada minit ke-18.
Keceriaan kem Johor tidak bertahan lama apabila Muhammad Shahril Sobri kembali meletakkan Kelantan di hadapan pada minit ke-28.
Johor yang dibimbing Gonzalo Sanz Zaballos berusaha mencari gol penyamaan buat kali kedua. Walau bagaimanapun, ketangkasan penjaga gol Kelantan, Adika Arman Azmi memastikan keputusan 2-1 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Zaballos memasukkan G. Pavithran menggantikan Fakrul Haikal Razali dengan harapan dapat menambah ketajaman serangan Johor.
Malangnya, penyudah Kelantan lebih klinikal di depan gol. Shahril sekali lagi menjadi duri dalam daging kepada pertahanan Johor dengan meledakkan gol keduanya pada minit ke-58.
Johor terus meningkatkan asakan tetapi usaha mereka terus digagalkan oleh Adika Arman. Dan itu sudah cukup membawa Kelantan ke separuh akhir.
Kelantan mengiringi satu lagi wakil Pantai Timur, Terengganu layak ke separuh akhir. Ini selepas Terengganu menewaskan Selangor 3-1 dalam satu lagi aksi suku akhir.
Kelantan bakal menanti pemenang sama ada Pulau Pinang atau Wilayah Persekutuan sebagai lawan mereka di peringkat separuh akhir.